Meningkatkan pembangunan masyarakat Orang Asli melalui penyelidikan berkualiti dan penggubalan dasar-dasar serta mengurangkan jurang perbezaan dan tanggapan negatif terhadap masyarakat Orang Asli.
Objektif
Meningkatkan pembangunan masyarakat Orang Asli melalui penyelidikan berkualiti dan penggubalan dasar-dasar serta mengurangkan jurang perbezaan dan tanggapan negatif terhadap masyarakat Orang Asli.
Fungsi
Membuat penyelidikan dan menyelaras aktiviti penyelidikan dan pembangunan masyarakat Orang Asli yang dibuat oleh agensi-agensi dari dalam dan luar negara.
Mengumpul, mengemaskini, menganalisa dan membentangkan maklumat serta data-data mengenai pentadbiran hal ehwal Orang Asli.
Membuat perancangan secara makro dalam jangka pendek dan panjang serta menggubal dasar pembangunan Jabatan untuk kepentingan peningkatan taraf sosio-ekonomi masyarakat Orang Asli.
Merancang dan menyediakan Muzium sebagai pusat pengumpulan artifak, kraftangan, kesenian dan pusat pengembangan kebudayaan masyarakat Orang Asli.
Merancang, menyedia, menyimpan dan memelihara kemudahan buku rujukan, tesis, kajian, jurnal dan artikel yang berkaitan dengan masyarakat Orang Asli.
Program-Program Utama Bahagian
Program Minggu Kebudayaan Orang Asli.
Secara umumnya masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia merupakan kelompok masyarakat pribumi yang mendiami kawasan pendalaman, hulu-hulu sungai, pinggir-pinggir hutan dan kawasan persisiran pantai sejak beribu-ribu tahun dahulu. Masyarakat Orang Asli ini terbahagi kepada tiga suku bangsa iaitu Negrito, Senoi dan Melayu Asli di mana setiap suku bangsa ini di pecahkan pula kepada enam suku kaum yang berbeza. Ketiga-tiga suku bangsa ini dapat dibezakan dari segi bahasa pertuturan, cara hidup, tempat tinggal, paras rupa, warna kulit dan bahan-bahan seni kraf yang dihasilkan.
Pelan Komprehensif JHEOA 2006-2010
Tujuan Perancangan Penilaian Pelan Komprehensif JHEOA ialah untuk mewujudkan mekanisma utama dalam penilaian program-program pembangunan. Ia mengukur sama ada sesuatu dasar, program atau projek mencapai matlamat yang ditetapkan serta mendatangkan faedah kepada golongan sasar.
Sesi perbincangan dan pembentangan kertas kerja daripada bahagian-bahagian yang terlibat telah berjalan dengan lancar. Bengkel Pelan Komprehansif ini juga akan menilai segala perancangan projek projek yang telah dijadualkan supaya lebih lebih kemas dan teratur untuk dilaksanakan.
Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli (MPKPMOA)
Majlis Penasihat Kebangsaan Pembangunan Masyarakat Orang Asli (MPKPMOA) diwujudkan untuk berfungsi sebagai penasihat kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah termasuk memperakukan cadangan-cadangan jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang mengenai pembangunan Orang Asli dan strategi untuk menyelesaikan atau mengatasi isu-isu yang dihadapi oleh mereka.
Terma Rujukan MPKPMOA adalah seperti berikut:
Memberi nasihat dan pandangan mengenai arah tuju pembangunan Masyarakat Orang Asli;
Menilai dan memberi pandangan dan nasihat untuk mengatasi isu-isu yang menghalang pelaksanaan program/projek pembangunan sosio-ekonomi kepada masyarakat Orang Asli termasuk isu kemiskinan, pendidikan, pemilikan tanah dan aset, taraf kesihatan, pekerjaan, kemahiran dan gejala sosial;
Menyelaras dan mencari jalan/cadangan penyelesaian terhadap isu-isu yang dibangkitkan oleh media-massa, individu, Pertubuhan Bukan Kerajaan, kesatuan dan agensi-agensi kerajaan/swasta termasuk dalam mesyuarat forum tetap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan lai-lain forum yang berkaitan;
Menangkis tanggapan negatif terhadap agensi pelaksana dan Kerajaan yang dibangkitkan oleh pihak Pertubuhan Parti Politik, Badan Bukan Kerajaan, Individu-individu dan dari Luar Negara, terhadap agensi pelaksana dan kerajaan.
Membincangkan Perwakilan Malaysia untuk menghadiri persidangan Forum tetap mengenai Indigineous People di bawah Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Hak Asasi Manusia. Kertas-kertas pembentangan ke mesyuarat di atas perlu dibentangkan dahulu untuk mendapatkan pandangan/nasihat ahli majlis;
Membincangkan kertas-kertas lain yang berkaitan dengan isu-isu Pembangunan Masyarakat Orang Asli.
Cadangan Pindaan Akta 134 Akta Orang Asli 1954
Asas Pertimbangan Cadangan Pindaan Akta
Akta 134, Akta Orang Asli 1954 telah dipinda kali terakhir pada tahun 1967 dan disemak pada tahun 1974. Mesyuarat Pasukan Petugas Peringkat Menteri untuk meningkatkan pelaksanaan projek-projek Luar Bandar Bil. 2/2001 bertarikh 7 Ogos 2001 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri berpendapat bahawa Akta Orang Asli 134 tidak lagi sesuai dengan keadaan sekarang dan perlu dikaji semula.
Kedua, isu-isu tuntutan Orang Asli yang berkaitan dengan tanah yang dibawa ke mahkamah telah meningkat dan seringkali memihak kepada Orang Asli yang mana sepatutnya Akta ini memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak atau “win-win situation”.
Ketiga, pada 8 Ogos 2007, Jabatan Peguam Negara dalam ulasan ke atas Kertas Memorandum Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah kepada Orang Asli turut memberi pandangan terhadap keperluan pindaan kepada Akta 134 ini bagi memenuhi atau membolehkan pelaksanaan Dasar Pemberimilikan dan Pembangunan Tanah kepada masyarakat Orang Asli dibuat.
Perlu disesuaikan dengan dasar yang diputuskan oleh Kerajaan bukan sahaja tanah tetapi aspek-aspek lain seperti Takrifan Orang Asli, pembahagian harta pusaka dan sebagainya.
Akta ini perlu dipinda menyentuh penyataan dasar tetapi bagaimana Akta ini dilaksanakan perlu ada peraturan atau prosedur yang menyatakan secara terperinci bagaimana keperluan peruntukan Akta ini dilaksanakan.